Cara Meningkatkan Penglibatan Pelajar di dalam Kelas


Catatan 14 Ogos 2017, 11.41 pm


Nak catat apa yang saya pelajari hari ini, supaya saya tak lupa dan orang lain dapat manfaat.
Alkisah mendorong pelajar berinteraksi dan belajar secara aktif di dalam kelas.
Boleh beri mereka JIGSAW ACTIVITY.

Contoh yang berlaku hari ini. Prof minta kami buat satu kumpulan yang ahlinya 6 orang. Ok, kami pun buat kumpulan, duduk bersama-sama.

Kemudian Prof beri kami artikel jurnal berkenaan topik hari ni. Setiap seorang dapat artikel berlainan. Setiap artikel dinomborkan (seperti gambar kedua tu). Selepas tu tiba-tiba Prof buat kejutan. Dia kata "Sekarang semua orang yang dapat artikel nombor yang sama, berkumpul dan baca artikel sama2, kemudian jawab 3 soalan yang saya bagi. Nanti lepas siap, kamu kembali ke kumpulan asal kamu dan bentangkan jawapan kepada mereka".

Ok, kami pun bergerak untuk ke kumpulan baru kami. Saya dapat artikel nombor 4, begitu juga ahli kumpulan baru saya. Kami mula membaca dengan senyap seketika, sebelum Prof buat kejutan lagi. Katanya, "Mungkin kamu ingin membahagikan artikel itu kepada beberapa bahagian, dan setiap orang bertugas membaca dan membentang 1 bahagian".

Artikel kami ada 5 muka surat. Jadi kami bahagikan ikut muka surat. Semua baca senyap bahagian masing-masing dan cuba menjawab soalan-soalan yang telah diberikan tadi (Semua orang dalam kelas dapat soalan yang sama). Aktiviti berjalan dalam 15 minit. Kemudian ahli kumpulan yang membaca muka surat 1 mula membentang kepada ahli lain, diikuti ahli yang membaca muka surat 2 dan seterusnya. Setiap orang ada 3 minit untuk membentang. Semasa dia bentang ahli lain terpaksa mencatat supaya dia dapat point penting dari muka surat yang dia tidak baca sendiri. Kan nanti dia nak balik ke kumpulan asal dan bentang kan? Jadi bila aktiviti ni dah selesai, semua kembali ke kumpulan asal.

Apabila kembali ke kumpulan asal, semua ahli mula membentangkan isi penting artikel masing-masing berdasarkan soalan-soalan yang diberi di awal aktiviti tadi. Dalam kes saya, saya bentangkan isi penting artikel nombor 4, dan 5 ahli kumpulan saya yang lain membentang artikel nombor 1, 2, 3, 5 dan 6. Setiap orang dapat 3 minit sahaja untuk membentang. Selepas itu, Prof buat kejutan lagi. Dia bagi satu soalan perbincangan lain yang merupakan aplikasi kepada konsep yang kami pelajari melalui aktiviti tadi, yang perlu dibentang pula kepada seluruh kelas. Nampaknya semua kumpulan dapat buat dengan mudah. Kerana semua orang telah melakukan pembelajaran aktif melalui aktiviti ini.

Kelebihan aktiviti ini, seperti yang tercatat dalam gambar pertama. Kita dapat melatih pelajar membaca dengan tujuan tertentu (dengan memberi mereka soalan untuk dijawab, mereka membaca untuk mencari jawapan). Kedua, kita mendorong setiap orang membuka mulut untuk berbincang. Ketiga, kita menggalakkan pelajar melaporkan semula apa yang dia sudah baca dan apa yang kumpulannya sudah bincang. Keempat, melalui soalan aplikasi tadi, pelajar perlu mensintesis maklumat yang dipelajari melalui perbincangan dan pembentangan tadi. Aktiviti ini menggalakkan pemikiran aras tinggi. Kelebihan terakhir, pengajar bertindak sebagai pemudah cara, bukan spoon feeding. Jimat suara kita berceramah. Hihi. Pelajar pula dilatih untuk membuat self-directed learning dan life long learning melalui aktiviti ini. Catatan tamat.



Comments

Popular posts from this blog

Apabila pensyarah lambat muat naik nota kuliah

Jelajah Alam dengan Permainan Mencari Harta Karun

10 sebab untuk sambung PhD